EUROPE TRIP DAY09 PART2: INTERLAKEN & LAUTERBRUNNEN

Bahnhofstrasse Street, Interlaken. 

Catatan bahagian sebelum ini boleh dibaca di sini.

Sebelum aku menyambung cerita tentang destinasi seterusnya, aku letakkan video ringkas kami tentang lawatan ke Blausee. Hari tu video tak sempat edit tapi tak sabar nak publish. Macam biasa, minta maaf atas kualiti rakaman tahap amatur.


Destinasi seterusnya adalah Interlaken. Kami memang putuskan untuk bersantai-santai sahaja sehari dua ni di Switzerland. Jadi itinerary pun taklah padat sangat. Selain Interlaken, bandar berdekatan yang boleh dilawati adalah Thun.

Interlaken

Walaupun cuma sebuah pekan kecil, Interlaken adalah sangat popular di kalangan pelancong ke Switzerland kerana kedudukannya yang menjadi akses untuk ke beberapa tarikan utama, terutamanya bagi mereka yang menaiki keretapi. Stesen keretapi Interlaken menjadi transit bagi mereka yang ingin ke Lauterbrunnen, Murren, Jungfrau, Schilthorn dan Grindelwald. Itu yang aku ingatlah, mungkin ada lagi.

Pekan ini terletak di tengah-tengah di antara tasik Thun dan tasik Brienz, sebab itulah ia dinamakan Interlaken yang bermaksud di antara dua tasik. Kami meluangkan masa sepetang di sini sambil mengambil kesempatan membeli sedikit barang dapur di kedai runcit Denner. Kalau korang ke Switzerland, selain rangkaian kedai Denner, boleh juga ke kedai Coop untuk membeli barang-barang keperluan. Memang bersepah-sepah kedai ni kat sana.

Dalam perjalanan dari Frutigen, kami singgah di kawasan hentian sebelah untuk melihat pemandangan tasik Thun. Kabus masih tebal nampaknya petang ini. 


Setelah meletak kereta dan membayar CHF4 di mesin bayaran parking, kami memulakan penerokaan bandar kecil ini.

Nak sangat tengok Sungai Gombak & Sungai Kelang rupa macam ni. 

Kami mulakan jalan kaki dari bahagian belakang, tak ada apa yang menarik melainkan sepatutnya boleh nampak banjaran Alps. Tapi nampak sikit-sikit saja sebab kabus tebal.



Tengoklah warna air sungai dia.

Pekan kecil yang sungguh mendamaikan. Bilangan kereta sungguh sedikit. 

Drama bersambung lagi..

Rambut serabai sebab kena hujan tadi. Di belakang tu empangan yang mengawal paras air supaya tidak berlaku banjir di Interlaken.

Acara wajib mai daahh..

Orang perempuan kalau biar mereka berjalan dengan selfie stick di tangan macam nilah jadinya.

Tenangnya bandar ni. Mana laa pergi semua orang.

Di sini juga ada tram untuk pelancong enjoy sight seeing di pekan ini. Supermarket Denner inilah yang kami singgah membeli barangan dapur.

Hasil tangkapan di Denner. Antaranya adalah coklat Lindt yang agak murah di sini dan strawberi manis yang cuma CHF2 sepeket besar, nak beli untuk bawa balik Malaysia pun dah masak sangat. Antara barang lain yang dibeli, fillet ikan, roti, salad dan tomato.

Bahnhofstrasse Street, jalan yang popular dengan pelbagai kedai menjual barang-barang cenderamata dan barang-barang Switzerland seperti peralatan sukan salji, jam, pisau pelbagai guna Victorinox (Original Swiss Army knife) dan lain-lain.

Memandangkan kami memang aim untuk beli pisau dapur Victorinox, maka jenuh jugalah masuk satu-satu kedai mencarinya pada harga sekurang-kurangnya sama seperti di Rheinfall. Pisau pelbagai guna Victorinox aku memang dah ada dua, jadi cuma nak beli pisau untuk kegunaan di dapur sahaja. Pisau Victorinox ni tajam, berkualiti dan tahan lama. Di Rheinfall hari tu cuma CHF3.50 sebilah, tapi di Interlaken ni tak adalah pula yang jual loose. Yang ada cuma dalam bentuk set, berharga CHF11 dan ke atas. Dalam set itu pula ada yang sudah ada di rumah, maka tak jadilah nak beli. Batalkan sahaja hasrat membeli pisau, tak apalah lagipun esok kami akan singgah Zurich, mudah-mudahan boleh beli di sana.

Seronok juga keluar masuk kedai ni, walau pun cuma membeli fridge magnet dan shot glass. Sebelum ni di bandar-bandar lain kami tak sempat nak meneroka kedai-kedai sangat, yang banyak kami masuk pun kedai cenderamata sahaja. Kedai jam di sini memang banyak, sebab Switzerland memang terkenal dengan ketepatan dalam menghasilkan parts-parts yang halus. Antara brand jam ternama keluaran Switzerland adalah Omega, Rolex, Cartier, Patek Philippe, Tissot, Swatch, Tag Heuer, IWC dan banyak lagi. Harganya? Sama macam di Malaysia untuk keluaran baru, dan mereka tak menjual jam keluaran model-model tahun sebelumnya. Di Malaysia ni kadang-kadang dapat murah sebab jam model yang lama akan dijual pada harga diskaun. Itupun cuma untuk beberapa brand. Kalau luxury brand macam Rolex atau Patek Philippe, aku rasa takde istilah diskaun macam tu kot.

Selepas sejam setengah berjalan, perut pun makin lapar. Banyak pula kedai kebab di sekitar Bahnhofstrasse ni. Kedai pertama kami nak try, tak dapat dipastikan ada free wifi ke tak. Kami cuba connect dulu tapi tiada satu pun yang dapat, jadi kami keluar semula. Rugilah kalau makan kat luar tapi tak dapat free wifi.

Akhirnya kami ke kedai yang berhampiran dengan tempat kami parking. Napoli Pizza. Ada tulisan jawi halal, free wifi pula tu. Portion makanan dia agak banyak juga, kebab biasa untuk seorang CHF8. Dikira murah jugalah kalau nak dinisbahkan yang kami sekarang berada di Switzerland. Punyalah asik layan free wifi, sampai lupa nak ambil gambar makanan. Air jelah yang mahal sikit. Basir order jus oren ingatkan dapat yang fresh, rupanya dia bagi sebotol kecil oren perisa dari koordial je. Macam yang biasa kita jumpa kat kedai arab kat sini. CHF4. Kalau tahu baik beli dekat Denner tadi boleh dapat sebotol yang satu liter tu.

Lebih kurang pukul empat petang, kami putuskan untuk balik ke Lauterbrunnen. Dah masuk hari kedua tetapi kami masih belum berkesempatan untuk jalan-jalan di Lauterbrunnen. Kami sampai di Lauterbrunnen pada pukul lima petang dalam keadaan hujan lebat. Gagahkan juga berjalan sebab masih belum melawat kawasan kampung yang mempunyai 72 air terjun ini.

Alahai tenangnya kawasan kampung ni. Cantik sangat view celah-celah rumah dia. 
Kebanyakan kawasan parking di sini adalah private. Jadi tak boleh sesuka hati parking kenderaan. Kami parking agak jauh juga melewati kawasan perkuburan dan berjalan dalam hujan lebat.

Staubach waterfall, air terjun paling popular di sini. Air terjun ini berasal dari glacier yang mencair dari banjaran Alps.


Ini pula Staubachfall dari spot yang paling banyak orang ambil gambar. 


Lens pun dah basah. Hujan masih turun rintik-rintik. Sejuk sangat time ni.

Basir meniru gaya papan tanda larangan melepasi pagar yang dipasang di situ. Ada batu-batu jatuh dari atas katanya.

Sebenarnya ada banyak lagi spot ambil gambar yang aku dah tandakan dalam map kat Lauterbrunnen ni. Tapi dalam keadaan cuaca macam ni memang kami semua mengalah. Dah tak larat menghadapi hujan dalam suhu di bawah 4 degree C ni. Lagi pun, spot cantik boleh jadi tak berapa cantik bila hujan dan berkabus.

Kami balik ke Valley Hostel dan membersihkan diri. Selepas itu para isteri mula bertukang di dapur. Wife bawa rempah nasi arab dan berasnya sekali dari Malaysia. Jadi hari tu kami makan nasi arab masak sendiri di Switzerland. Lauknya pula fillet ikan goreng. Sayangnya sambal nasi arab tak boleh nak dibuat kerana tak jumpa daun ketumbar dan daun pudina semasa di Interlaken tadi. Di Denner tak ada dan di kedai rempah India pun tak ada.

Inilah rupa kitchen Valley Hostel. Guna dapur macam ni kena disiplin, siapa guna maka kena pandai-pandai kemas dan bersihkan balik. Kena jaga imej negara masing-masing. Tu perangai orang negara manalaa sidai towel di heater kitchen tu.

Kat dapur ni, ada banyak barang yang diletakkan dalam tray untuk kegunaan awam. Kebanyakan dari traveller lain yang menghuni disitu. Kira barang wakaflah. Kami guna minyak yang berada dalam tray tersebut untuk menggoreng fillet ni.

Tadaa.. sudah siap. Dahlaa dengan nasi arabnye, sardin, fresh tomato, sup campbell dan roti bakar pulak tu. Hari ni adalah hari yang kami paling banyak makan. Rupanya bila aktiviti santai, lagi cepat lapar jadinya.

Selesa betul. Selepas sejuk-sejuk kat luar, balik mandi air panas dan makan masakan panas. Wife masak penuh satu periuk nasi.

Sambil makan tu aku bawa laptop ke kantin ni, streaming live bola Manchester United vs Everton, semi-final piala FA. Laju betul wifi dia, tenang je tengok live bola tanpa sangkut. Game menarik pulak, dengan De Gea save penalti semasa United mendahului 1-0, sebelum Everton menyamakan kedudukan menerusi goal sendiri Chris Smalling. Namun skhirnya pada minit-minit akhir perlawanan, Anthony Martial menyumbat gol kemenangan untuk United. First time aku tengok fan Liverpool sokong Everton. Hahaha.. Kemenangan tu sangat penting buat United yang akhirnya menjulang piala FA selepas mengalahkan Crystal Palace. 

Sementara hari masih siang, aku sempat snap beberapa keping gambar di balkoni bilik kami. Kabus petang ni nampaknya semakin berkurang kalau nak dibandingkan dengan semalam.

Lebih clear dari semalam. Air terjun pun dah kelihatan.

Di sebelah kanan sana pun ada satu lagi air terjun. Mana taknya, di kampung ni ada 72 air terjun semuanya. Valley Hostel ni betul-betul di sebelah stesen keretapi Lauterbrunnen. Tapi tak ada bunyi bising pun.

Di sebelah kiri ni kabus masih tebal.
Kadang-kadang aku terfikir diorang ni buat rumah macam ni, macam manalaa diorang nak hantar anak pergi sekolah tiap-tiap hari?

Hari ini kami masuk tidur awal, paling awal di sepanjang trip kami ini. Catatan hari ke 10 akan bersambung dalam entri yang akan datang.

CONVERSATION

0 comments:

Post a Comment

Back
to top